CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

May 23, 2012

Tinta akhir buat Abah *al-fatihah*



Abah,
Dah sebulan abah pergi meninggalkan kami, mak, anak-anak abah, dan cucu-cucu abah. Rindu kami pada Abah....

Kali terakhir saya jumpa abah ialah hari Rabu, 18 April, 2012.
Balik dari kelas di UPM saya terus ke Shah Alam untuk melawat Abah. Risau mak seorang diri jaga Abah, dan takut mak perlukan apa-apa, saya terasa seperti mahu melawat Abah sekejap. Semasa sampai, Abah sedang tidur. Mak pula sembahyang. Saya salam abah dan cium tangan abah perlahan-lahan, risau dia terjaga dari lena. Tiada apa saya buat pada hari itu di sana. Hanya tolong mak untuk betulkan abah dari pembaringan, dan berborak dengan abah sedikit. Sedikit sahaja, sebab abah tidak larat bercakap.

Kebiasaannya saya memang ambil peluang berbual dengan abah bila tiada anak-anak abah disekeliling, bukan apa, jika mereka ada, saya rasa mereka adalah orang paling dekat perlu abah berbual. Waktu kami berbual, saya tanya “abah, hari ni abah makan apa?” abah kata “bubur...mak bagi bubur....tak lalu....” saya tenung wajah abah. “takpa lah, makan sikit-sikit, bagi tenaga. Nanti sihat abah boleh jalan-jalan” abah diam. Angguk. “hari ni abah makan ubat?” tanya saya lagi, “dah, mak bagi. Banyak mak bagi”. Lega hati bila dengar Abah dah makan ubat hari itu. Lantas saya kata, “takpa lah makan banyak ubat, cepat Abah baik. Abah mengantuk ke?” kerana saya lihat Abah sedikit tertutup mata seperti menahan mata mengantuk. Abah angguk perlahan. “Abah tidur lah dulu..” saya berlalu. Serentak itu dengar suara Abah bertanya, “Adam mana? Ada?” “Tak ada. Adam sekolah. Petang nanti baru Aini amik dia. Ni Aini baru balik kelas. Terus datang sini.” Jawab saya dan Abah terus tutup mata, terlena.

Sempat saya berbual dengan Mak sebentar, dan pukul 4pm saya terus balik. Salam Mak, salam Abah, pesan pada Abah supaya rajin makan ubat dan makan bubur. Abah angguk. *tak sangka, itulah kali terakhir saya akan lihat Abah. Salam dan cium tangan Abah.

Khamis,19hb April, 2012.
Suami saya ke kursus sejak semalam, dan akan pulang petang jam 6pm selalunya. Saya pula pagi-pagi sudah bersiap-siap, mahu mencari tangki oksigen untuk Opah dan Abah. Selepas sarapan dan sebagainya, saya terus keluar untuk sewa tangki oksigen di kedai gas berdekatan. Sms dari suami pagi-pagi lagi dah pesan “sewa dua, untuk Opah satu, satu lagi untuk Abah.” Selesai urusan sewa tangki oksigen, saya pulang ke rumah. Menanti suami pulang dan kami nak melawat Abah di Shah Alam, sambil bawa Adam sebab semalam Mak dah pesan bawa Adam hari ini.

Tepat pukul 6pm suami tiba dirumah, kami terus bersiap nak ke Shah Alam. Masuk kereta dan teruskan perjalanan. Tiba di tol Sg.Rasau kami dapat panggilan dari adik ipar, Ayu. Katanya suruh datang cepat sikit. Abah putus nafas......... Saya yang menjawab panggilan memang kaget, terus suruh Ayu buat CPR secepat mungkin. Suami pula terus memecut. Saya call ambulan, sebab ingat orang dirumah belum call ambulan lagi. Bila call, hospital kata ambulan dah sampai di rumah Shah Alam. Saya lega. Suami terus memecut laju kereta.

Sampai saja dirumah Abg ipar di Shah Alam, kami lihat ambulan dah ada depan rumah. Kami pantas turun kereta dan masuk ke perkarangan rumah. Semasa itu ada 2 orang pekerja hospital menolak semula stretcher dari dalam rumah ke dalam ambulan. Abah tiada di atas stretcher itu. Tiba-tiba saya rasa lega, pada fikiran saya mereka dah nak balik sebab Abah dah ok. Tak perlu bawa ke hospital. Tapi sebaik kaki melangkah masuk rumah, saya dengar tangisan..............

Saya dukung Adam erat-erat terus laju ke hall rumah, dan mak peluk saya dan Adam. “Aini....abah....abah dah tak ada......” saya peluk mak. Serentak tu airmata mengalir deras... Mak terus duduk di atas sofa sambil menangis. Jiran-jiran yang ada tenangkan mak. Saya terus ke bilik Abah, saya lihat abg ipar sedang mengikat kepala abah dengan kain putih. Suami pula sedang menangis di sisi abah. Hati saya masih tak dapat terima. “Abah...betul ke Abah dah pergi? Tapi semalam abah elok aja..” sukar saya gambarkan perasaan waktu itu. Antara percaya dengan tidak. Hati saya berat sekali menerima pemergian Abah pada petang khamis itu.

Jumaat, 20hb April, 2012
Jenazah Abah tiba dirumahnya di Kota Gelanggi 2, Jerantut Pahang pada jam 1 pagi. Kereta kami adalah yang paling awal tiba kerana mengikuti van jenazah dari Shah Alam. Sampai sahaja, kami rehatkan Abah di ruang tamu. Seisi keluarga yang ada juga jiran-jiran terutama rakan-rakan abah membaca Yassin dan doa untuk Abah yang “lena” dipembaringan. Adik beradik suami yang ada semuanya duduk disisi Abah. Menemani Abah pada detik-detik terakhir dengan yassin yang tak lekang ditangan, sebelum mengembalikan Abah kepada yang maha Esa. Saya tertidur dibilik bersama Adam.

Pagi itu, jam 10:30am, telah mula waktu memandikan Abah dan mengkafankan arwah. Kami mahu arwah disempurnakan sebelum waktu sembahyang Jumaat. Anak-anak lelaki Abah menyempurnakan mandi terakhir Abah, dan kemudian rakan-rakan abah pula mengkafankan Abah sambil dibantu anak-anak yang lain. Sayu sahaja. Senyap dan sunyi rumah ketika mereka mengkafankan Abah, rasa seperti cepat benar segalanya. Kami belum puas lagi menatap wajah Abah ketika itu. Selesai abah dikafankan, kami dipanggil untuk mencium Abah. Ciuman terakhir anak-anak kepada seorang bapa, ciuman terakhir seorang isteri kepada suaminya, juga ciuman cucu-cucu kesayangan Abah yang selalu menghiburkan hati Abah kepada atuk. Sunyi....tetap senyap...semua menahan rasa. Saya cium abah, juga bawa Adam Qaiser cium dahi atuknya.

Jenazah Abah tiba di tanah perkuburan Kota Gelanggi 4 hampir 12 tengahari. Tempat persemadian Abah telah siap. Suami dan abg-abg ipar saya menyambut jenazah Abah dan memasukkan arwah ke liang lahad. Perjalanan terakhir abah sempurna pada jam 1230 tengahari. Talkin dibacakan, doa dipanjatkan, air wangi kami siramkan di pusara abah. Berat kaki kami melangkah pergi tinggalkan abah “berehat di sana”. Mak 2 3 kali asyik menoleh ke belakang. Bukan mak saja, kami juga.

Abah..
Abah “tidurlah” dan “rehatlah”... kami akan sentiasa rindukan Abah, dan doakan Abah dari sini. Insyaallah, kita jumpa lagi “di sana”.......

*********************************************************************************

Selesai segalanya. Abah pergi pada hari Khamis, dan disemadikan pada hari Jumaat. Penghulu segala hari. Kami iringkan pemergian abah dengan 30 juzuk Al-Quran dan insyaallah akan kami taburkan abah dengan doa-doa, agar Abah sentiasa tenang di sana.

Saya sebelum ini sangat optimis Abah akan sembuh, hendak pula entry sebelum ini ada saya katakan bahawa saya bermimpi sesuatu yang sangat baik tentang Abah. Dengan mimpi itu saya sgt gembira. It really make my day. Saya tak mahu ceritakan mimpi itu dalam entry lepas, sebab saya rasa mimpi baik elok saya buat ingatan saya, dan doa agar ianya menjadi kenyataan. Tapi mungkin mimpi itu bermaksud sebaliknya, saya yang tidak pandai mentafsir. Wallahua’lam. 

Dalam mimpi itu, saya bersama suami dan adik beradik suami menghantar Abah kesuatu tempat. Abah memakai ihram. Pada fikiran saya, Abah nak pergi Haji. Sebab kami ade berfikir kalau Abah sihat, tahun ini boleh daftarkan mak dan Abah haji. Saya tanya pada abah yang Nampak seronok memakai ihram, “Abah, seronok ke nak pergi nih” (maksud saya, nak pergi haji), abah sambil tersenyum menjawab “mau tak seronok? Seronok sangat lah Abah rasa..” sambil Abah betul-betulkan kain ihramnya. Saya tanya lagi,”kenapa abah taknak bawa mak sekali?” kerana mak hanya memakai baju biasa berdiri sebelah abah. Abah kata “Oh, mak tak pe, mak lain kali lah baru pergi”..................

Terus saya terjaga dari tidur, dan tersenyum-senyum lantas menulis entry sebelum ini.....mimpi...mainan tidur.

Entry kali ini bukan lah untuk apa-apa, Cuma saya mengimbas juga memberitahu tentang pemergian Abah, yang sebelum ini menghidap kanser. Umum tahu sakit abah dan fasal abah sebab saya pernah bercerita tentang abah di blog untuk tujuan meminta bantuan dari segi pendapat dan sebagainya, tapi ada juga yang tidak tahu abah telah pergi meninggalkan kami kerana saya terima beberapa email tentang ubat-ubatan yang sesuai selepas abah telah menghadap Ilahi.

Kepada yang pernah membantu saya baik dari segi sokongan moral, kata-kata, pendapat dan sebagainya, saya ucapkan ribuan terima kasih semoga Allah membalas segalanya.
Ini adalah entry terakhir untuk arwah Abah. Semoga Allah menempatkan insan istimewa di hati kami ini dikalangan para solihin dan syuhada. Amin.

Al-fatihah untuk arwah Md Ali Bin Salleh. Abah kami....
gambar arwah semasa beraya bersama kami di Perak, raya tahun lepas. Sekejapnya masa berlalu..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...