Abah,
Dah sebulan
abah pergi meninggalkan kami, mak, anak-anak abah, dan cucu-cucu abah. Rindu
kami pada Abah....
Kali
terakhir saya jumpa abah ialah hari Rabu,
18 April, 2012.
Balik
dari kelas di UPM saya terus ke Shah Alam untuk melawat Abah. Risau mak seorang
diri jaga Abah, dan takut mak perlukan apa-apa, saya terasa seperti mahu
melawat Abah sekejap. Semasa sampai, Abah sedang tidur. Mak pula sembahyang.
Saya salam abah dan cium tangan abah perlahan-lahan, risau dia terjaga dari lena.
Tiada apa saya buat pada hari itu di sana. Hanya tolong mak untuk betulkan abah
dari pembaringan, dan berborak dengan abah sedikit. Sedikit sahaja, sebab abah
tidak larat bercakap.
Kebiasaannya
saya memang ambil peluang berbual dengan abah bila tiada anak-anak abah
disekeliling, bukan apa, jika mereka ada, saya rasa mereka adalah orang paling
dekat perlu abah berbual. Waktu kami berbual, saya tanya “abah, hari ni abah
makan apa?” abah kata “bubur...mak bagi bubur....tak lalu....” saya tenung
wajah abah. “takpa lah, makan sikit-sikit, bagi tenaga. Nanti sihat abah boleh
jalan-jalan” abah diam. Angguk. “hari ni abah makan ubat?” tanya saya lagi,
“dah, mak bagi. Banyak mak bagi”. Lega hati bila dengar Abah dah makan ubat
hari itu. Lantas saya kata, “takpa lah makan banyak ubat, cepat Abah baik. Abah
mengantuk ke?” kerana saya lihat Abah sedikit tertutup mata seperti menahan
mata mengantuk. Abah angguk perlahan. “Abah tidur lah dulu..” saya berlalu.
Serentak itu dengar suara Abah bertanya, “Adam mana? Ada?” “Tak ada. Adam
sekolah. Petang nanti baru Aini amik dia. Ni Aini baru balik kelas. Terus
datang sini.” Jawab saya dan Abah terus tutup mata, terlena.
Sempat
saya berbual dengan Mak sebentar, dan pukul 4pm saya terus balik. Salam Mak,
salam Abah, pesan pada Abah supaya rajin makan ubat dan makan bubur. Abah
angguk. *tak sangka, itulah kali terakhir saya akan lihat Abah. Salam dan cium
tangan Abah.
Khamis,19hb April, 2012.
Suami
saya ke kursus sejak semalam, dan akan pulang petang jam 6pm selalunya. Saya
pula pagi-pagi sudah bersiap-siap, mahu mencari tangki oksigen untuk Opah dan
Abah. Selepas sarapan dan sebagainya, saya terus keluar untuk sewa tangki
oksigen di kedai gas berdekatan. Sms dari suami pagi-pagi lagi dah pesan “sewa
dua, untuk Opah satu, satu lagi untuk Abah.” Selesai urusan sewa tangki
oksigen, saya pulang ke rumah. Menanti suami pulang dan kami nak melawat Abah
di Shah Alam, sambil bawa Adam sebab semalam Mak dah pesan bawa Adam hari ini.
Tepat
pukul 6pm suami tiba dirumah, kami terus bersiap nak ke Shah Alam. Masuk kereta
dan teruskan perjalanan. Tiba di tol Sg.Rasau kami dapat panggilan dari adik
ipar, Ayu. Katanya suruh datang cepat sikit. Abah putus nafas......... Saya
yang menjawab panggilan memang kaget, terus suruh Ayu buat CPR secepat mungkin.
Suami pula terus memecut. Saya call ambulan, sebab ingat orang dirumah belum call
ambulan lagi. Bila call, hospital kata ambulan dah sampai di rumah Shah Alam.
Saya lega. Suami terus memecut laju kereta.
Sampai
saja dirumah Abg ipar di Shah Alam, kami lihat ambulan dah ada depan rumah. Kami
pantas turun kereta dan masuk ke perkarangan rumah. Semasa itu ada 2 orang
pekerja hospital menolak semula stretcher dari dalam rumah ke dalam ambulan.
Abah tiada di atas stretcher itu. Tiba-tiba saya rasa lega, pada fikiran saya
mereka dah nak balik sebab Abah dah ok. Tak perlu bawa ke hospital. Tapi sebaik
kaki melangkah masuk rumah, saya dengar tangisan..............
Saya
dukung Adam erat-erat terus laju ke hall rumah, dan mak peluk saya dan Adam. “Aini....abah....abah
dah tak ada......” saya peluk mak. Serentak tu airmata mengalir deras... Mak
terus duduk di atas sofa sambil menangis. Jiran-jiran yang ada tenangkan mak.
Saya terus ke bilik Abah, saya lihat abg ipar sedang mengikat kepala abah
dengan kain putih. Suami pula sedang menangis di sisi abah. Hati saya masih tak
dapat terima. “Abah...betul ke Abah dah pergi? Tapi semalam abah elok aja..”
sukar saya gambarkan perasaan waktu itu. Antara percaya dengan tidak. Hati saya
berat sekali menerima pemergian Abah pada petang khamis itu.
Jumaat, 20hb April, 2012
Jenazah
Abah tiba dirumahnya di Kota Gelanggi 2, Jerantut Pahang pada jam 1 pagi.
Kereta kami adalah yang paling awal tiba kerana mengikuti van jenazah dari Shah
Alam. Sampai sahaja, kami rehatkan Abah di ruang tamu. Seisi keluarga yang ada
juga jiran-jiran terutama rakan-rakan abah membaca Yassin dan doa untuk Abah
yang “lena” dipembaringan. Adik beradik suami yang ada semuanya duduk disisi
Abah. Menemani Abah pada detik-detik terakhir dengan yassin yang tak lekang
ditangan, sebelum mengembalikan Abah kepada yang maha Esa. Saya tertidur
dibilik bersama Adam.
Pagi
itu, jam 10:30am, telah mula waktu memandikan Abah dan mengkafankan arwah. Kami
mahu arwah disempurnakan sebelum waktu sembahyang Jumaat. Anak-anak lelaki Abah
menyempurnakan mandi terakhir Abah, dan kemudian rakan-rakan abah pula
mengkafankan Abah sambil dibantu anak-anak yang lain. Sayu sahaja. Senyap dan
sunyi rumah ketika mereka mengkafankan Abah, rasa seperti cepat benar
segalanya. Kami belum puas lagi menatap wajah Abah ketika itu. Selesai abah
dikafankan, kami dipanggil untuk mencium Abah. Ciuman terakhir anak-anak kepada
seorang bapa, ciuman terakhir seorang isteri kepada suaminya, juga ciuman cucu-cucu
kesayangan Abah yang selalu menghiburkan hati Abah kepada atuk. Sunyi....tetap
senyap...semua menahan rasa. Saya cium abah, juga bawa Adam Qaiser cium dahi
atuknya.
Jenazah
Abah tiba di tanah perkuburan Kota Gelanggi 4 hampir 12 tengahari. Tempat persemadian
Abah telah siap. Suami dan abg-abg ipar saya menyambut jenazah Abah dan
memasukkan arwah ke liang lahad. Perjalanan terakhir abah sempurna pada jam
1230 tengahari. Talkin dibacakan, doa dipanjatkan, air wangi kami siramkan di
pusara abah. Berat kaki kami melangkah pergi tinggalkan abah “berehat di sana”.
Mak 2 3 kali asyik menoleh ke belakang. Bukan mak saja, kami juga.
Abah..
Abah
“tidurlah” dan “rehatlah”... kami akan sentiasa rindukan Abah, dan doakan Abah
dari sini. Insyaallah, kita jumpa lagi “di sana”.......
*********************************************************************************
Selesai
segalanya. Abah pergi pada hari Khamis, dan disemadikan pada hari Jumaat.
Penghulu segala hari. Kami iringkan pemergian abah dengan 30 juzuk Al-Quran dan
insyaallah akan kami taburkan abah dengan doa-doa, agar Abah sentiasa tenang di
sana.
Saya
sebelum ini sangat optimis Abah akan sembuh, hendak pula entry sebelum ini ada
saya katakan bahawa saya bermimpi sesuatu yang sangat baik tentang Abah. Dengan
mimpi itu saya sgt gembira. It really make my day. Saya tak mahu ceritakan
mimpi itu dalam entry lepas, sebab saya rasa mimpi baik elok saya buat ingatan
saya, dan doa agar ianya menjadi kenyataan. Tapi mungkin mimpi itu bermaksud
sebaliknya, saya yang tidak pandai mentafsir. Wallahua’lam.
Dalam mimpi itu,
saya bersama suami dan adik beradik suami menghantar Abah kesuatu tempat. Abah
memakai ihram. Pada fikiran saya, Abah nak pergi Haji. Sebab kami ade berfikir
kalau Abah sihat, tahun ini boleh daftarkan mak dan Abah haji. Saya tanya pada
abah yang Nampak seronok memakai ihram, “Abah, seronok ke nak pergi nih”
(maksud saya, nak pergi haji), abah sambil tersenyum menjawab “mau tak seronok?
Seronok sangat lah Abah rasa..” sambil Abah betul-betulkan kain ihramnya. Saya
tanya lagi,”kenapa abah taknak bawa mak sekali?” kerana mak hanya memakai baju
biasa berdiri sebelah abah. Abah kata “Oh, mak tak pe, mak lain kali lah baru
pergi”..................
Terus
saya terjaga dari tidur, dan tersenyum-senyum lantas menulis entry sebelum
ini.....mimpi...mainan tidur.
Entry
kali ini bukan lah untuk apa-apa, Cuma saya mengimbas juga memberitahu tentang
pemergian Abah, yang sebelum ini menghidap kanser. Umum tahu sakit abah dan
fasal abah sebab saya pernah bercerita tentang abah di blog untuk tujuan
meminta bantuan dari segi pendapat dan sebagainya, tapi ada juga yang tidak
tahu abah telah pergi meninggalkan kami kerana saya terima beberapa email
tentang ubat-ubatan yang sesuai selepas abah telah menghadap Ilahi.
Kepada
yang pernah membantu saya baik dari segi sokongan moral, kata-kata, pendapat
dan sebagainya, saya ucapkan ribuan terima kasih semoga Allah membalas
segalanya.
Ini
adalah entry terakhir untuk arwah Abah. Semoga Allah menempatkan insan istimewa
di hati kami ini dikalangan para solihin dan syuhada. Amin.
Al-fatihah
untuk arwah Md Ali Bin Salleh. Abah kami....
|
gambar arwah semasa beraya bersama kami di Perak, raya tahun lepas. Sekejapnya masa berlalu.. |